Thursday, July 1, 2010

SEJARAH KELAHIRAN NABI NUH (AS)

DISEDIAKAN UNTUK :
ABDUL AZIZ B. HARIJIN

DISEDIAKAN OLEH :
AHMAD SYAHIR BIN HAMAM
2009246702
TARIKH :
10 MAC 2010

FAKULTI SAINS KOMPUTER DAN MATEMATIK
UiTM, PERLIS

ABSTRAK.
Bersyukur kepada Allah kerana dengan inayah-Nya dapat juga saya menyiapkan folio ini. Saya ditugaskan untuk membuat suatu penulisan mengenai Nabi Nuh (as). Nabi Nuh (as) dilahirkan setelah wafatnya Adam selama 126 tahun menurut catatan Ibnu Jarir dan ulama ahli sejarah lainnya. Diutus Allah (swt) untuk menyedarkan umat di masanya yang terjerumus dalam penyembahan kepada berhala dan thogut. Beliau berdakwah kepada kaumnya dalam jangka masa yang sangat lama, malam dan siang hari, secara rahsia dan terang-terangan, dan beliau bertempat tinggal bersama mereka selama hampir 950 tahun. Tidaklah yang beriman kepadanya melainkan sedikit sekali. Mereka tidak memperhatikan dakwah, mereka tidak mengindahkan serta mahu memikirkan ancaman dan peringatan-peringatan Nabi Nuh (as). Kebaikan yang diberi mereka balas dengan keburukan, kehalusan yang diberi mereka balas dengan kekerasan Lalu Nabi Nuh berdoa kepada Allah untuk membinasakan dan menghancurkan kaumnya, maka Allah memperkenankan doanya dan Allah memberitahu kepadanya bahawa Dia akan menghancurkan mereka dengan angin taufan dan banjir besar, dan tidak ada yang tinggal dari mereka seorang pun. Nabi Nuh menaiki bahtera bersama pengikutnya yang mukmin, semua haiwan secara berpasangan, lelaki dan perempuan, dan perbekalan secukupnya untuk mengekalkan keturunannya ke dalam bahtera, kemudian angin kencang dan banjir besar melanda, menenggelamkan semua penduduk bumi, dan tidak ada yang selamat melainkan yang di dalam bahtera.

PENDAHULUAN.
Nabi Nuh (as) atau nama penuhnya Nuh bin Laamak bin Khanoukh (Nabi Idris) bin Yarud bin Mahlayal bin Qainan bin Anausy bin Syeets bin Adam (as). Beliau juga dikenali sebagai bapa umat manusia. Dilahirkan setelah wafatnya Adam selama 126 tahun menurut catatan Ibnu Jarir dan ulama ahli sejarah lainnya.
Menurut sejarah Ahli Kitab Klasik, ruang waktu antara kematian Adam (as) dan kelahiran Nuh berjumlah 146 tahun iaitu sama hampir dengan sepuluh abad. Pendapat itu disampaikan oleh Al-Hafidh Abu Hatim bin Hibban di dalam kitab sahihnya. Beliau berkata Muhammad bin Umar meriwayatkan kepadanya yang diterima dari Muhammad bin Abdul Malik bin Zanjawih dari Abu Tawbah dari Mu’awiyah bin Salam dari Zaid bin Salam dari Abu Salam. Beliau berkata bahawa dia mendengar pertuturan Abu Umamah, katanya bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apakah Adam itu Nabi?” Baginda menjawab: “Ya, Adam adalah mukallim.” Orang itu bertanya lagi: “Berapa jarak waktu antara beliau dan Nabi Nuh?” Baginda menjawab: “Sepuluh abad (kurun).” Menurut pengamatan kami Ibnu Katsir , riwayat itu didasarkan pada catatan Imam Muslim.
Secara ringkasnya Nabi Nuh (as) diutus Allah (swt) untuk menyedarkan umat di masanya yang terjerumus dalam penyembahan kepada berhala dan thogut. Ketika itu manusia mengalami kesesatan dan kekafiran yang kuat. Oleh itu, Allah (swt) mengutusnya sebagai rahmat atau kasih sayang kepada para hamba-Nya. Beliau juga adalah Rasul pertama diutuskan kepada manusia, sebagaimana yang dikatakan Ahlul Mauqif (penduduk di makhsyar) pada hari kiamat. Menutut catatan sejarah Ibnu Jarir, kaum Nabi Nuh (as) disebut sebagai Bani Raasib. Berkenaan usia Nabi Nuh (as) ketika diangkat menjadi Rasul didapati para ahli sejarah mempunyai pendapat yang berbeza diantara mereka. Ada yang berpendapat ketika itu usia beliau mencapai 50 tahun. Ada pula yang mengatakan berusia 350 tahun. Yang lain mengatakan beliau berusia 480 tahun ketika itu. Pendapat ini sebagaimana yang dituturkan oleh Ibnu Jarir dlm catitannya. (Ismail, Abul Fidaa’ bin Katsir Al-Quraisy, 2000 : 71-73)
USIA NABI NUH (AS).
Dikatakan hidup Nabi Nuh terlalu lama dan dia merupakan Nabi yang paling lama umurnya di antara para Nabi. Terlalu banyak perjuangannya sehinggakan beliau memperoleh kesakitan-kesakitan yang para Nabi dan para Rasul belum pernah memperolehnya. Beliau mengajak kaumnya dalam jangka masa yang sangat lama, malam dan siang hari, secara rahsia dan terang-terangan, dan beliau bertempat tinggal bersama mereka selama hampir 950 tahun.
Sebahagian pendapat ulama menerangkan bahawa umur Nabi Nuh semasa diutus oleh Allah kepada kaumnya baru berumur 50 tahun, dia tinggal bersama kaumnya selama 950 tahun, kemudian Nabi Nuh (as) hidup setelah kehancuran umatnya dan kaumnya selama 350 tahun, maka umur beliau di antara seribu tiga ratus lima puluh tahun (1350 tahun). Ini pendapat yang diambil dari kitab Taurat, sebagaimana mubaligh terdahulu yang meninggalkan khabar-khabar yang diterangkan oleh Taurat dan tidak mungkin dapat dipercaya. Sungguhpun yang dapat dipastikan dengan apa yang telah diterangkan dalam Al-Quran sebagaimana surah Al-Ankabut, ayat 14, firman Allah: “Maka dia tinggal bersama mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.” dan ini dalil yang pasti. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 278-279)

ANAK² NABI NUH (AS).
Nabi Nuh mempunyai empat orang anak iaitu Sam, Ham, Yafis, dan Kan-an. Kan-an merupakan satu-satu anaknya yang binasa akibat tenggelam, kerana dia termasuk orang-orang yang kafir. Dia membangkang ketika diajak menaiki bahtera bersama ayahnya dan dia berkata kepada ayahnya, “Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memelihara aku dari air bah”, maka dia tidak selamat kerana tidak mengikuti panggilan ayahnya ketika memanggilnya, “Hai anakku! Naiklah bersama kami”. Bahkan dia mempunyai anggapan bahawa dia akan selamat dengan menaiki sebuah gunung, maka jadilah dia orang yang gagal.
Sebagaimana surah Huud, ayat 45, Nabi Nuh berdoa kepada Tuhan untuk menyelamatkan anaknya, Nabi Nuh berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah hakim yang seadil-adilnya”. Maka Allah Ta’ala menyalahkan Nuh dengan firmanNya dalam surah Huud, ayat 46, firmanNya “Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatannya) perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku suatu yang tidak kamu ketahui (hakikat) nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan temasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan.”
Adapun anak-anak Nabi Nuh hanyalah tiga, mereka selamat dan penghuni bumi datang dari keturunan mereka, maka setiap manusia berketurunan anak-anak Nuh yang tiga itu, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah As-Shafaat, ayat 77, “Dan kami menjadikan keturunanya itu orang-orang yang melanjutkan keturunan”. Maka Sam menjadi tokoh Arab, Ham menjadi tokoh Habsyi, dan Yafis menjadi tokoh Rum sebagaimana hadith-hadith nabawi yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Nabi S.A.W bahawa beliau bersabda, “Sam abul Arab, Ham abul Habsyi, dan Yafis abul Rum”. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 297-298)

PERISTIWA² DI ZAMAN NABI NUH (AS).
i) KAUM PENYEMBAH BERHALA.
Telah disebut dalam Al-Quran bahawa kaum Nabi Nuh (as) orang yang pertama menyembah berhala atau patung. Sebelum mereka semuanya di atas agama tauhid yakni berada di atas syariat yang benar dan mereka tidak mengenal berhala dan patung.
Adapun yang menunjukkan bahawa kaum Nabi Nuh menyembah berhala iaitu yang telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam kitab-Nya yang mulia yang mengkhabarkan tentang Nabi Nuh (as), surah Nuh, ayat 21-24, Nuh berkata “Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah mendurhakai aku, dan aku telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anak tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka, dan melakukan tipu daya yang amat besar”. Dan mereka berkata, “Janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa’, yaghuts, ya’uq dan nasr’. Dan sesungguhnya mereka telah menyesatkan bebanyakan (manusia), dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan”.
Wadd, Suwaa’, Yaghuts, dan Nasr adalah nama berhala-berhala yang terbesar pada kabilah-kabilah kaum Nabi Nuh (as). Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas, Ia berkata, “Ini adalah nama-nama orang lelaki yang soleh dari kaum Nuh, maka setelah mereka meninggal dunia syaitan membisikkan kepada kaum mereka (orang yang meninggal) untuk mendirikan bangunan-bangunan dengan nama-nama mereka, lalu mereka mengerjakannya, maka bangunan-bangunan itu belum disembah sehingga apabila ilmu telah tiada barulah bangunan itu disembah,” Ibnu Abbas berkata, “Jadilah patung-patung ini ada di kaum Nuh sesudahnya”.
Telah diriwayatkan dalam hadis Bukhari dan Muslim dari Nabi S.A.W., beliau bersabda kepada Ummu Salamah dan Ummu Habibah semasa keduanya menerangkan kebaikkanya dan bentuknya yang indah (berhala), maka beliau bersabda, “Mereka itu apabila ada yang meninggal orang-orang lelaki yang soleh, mereka membangun di atas kuburnya sebuah masjid kemudian mereka mengarcakan di dalamnya, demikian itu akhlak yang paling buruk di sisi Allah S.W.T.”.

Ibnu Abbas berkata, “Dengan sebab itulah datang syariat Islam yang melarang menggambar dengan tangan setiap yang mempunyai roh, diharamkan membuat patung-patung atau arca dengan apa saja tujuannya”. Riwayat Bukhari mengatakan, “Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki sebuah rumah yang di dalamnya ada seekor anjing, gambar, patung-patung, dan orang yang junub.” Dan telah datang sabda Nabi S.A.W., “Barang siapa yang menggambar sebuah gambar, Allah akan menyeksa sebab gambar itu pada hari kiamat sehingga orang itu menuipkan roh padanya dan tidaklah ia boleh meniupkan.”. Demikian itu merupakan suatu batas akidah supaya manusia tidak terjatuh dalam penyembahan berhala, sebagaimana yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh yang dapat mengubah keburukan dan kerosakan dan lain-lainnya. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 280-286)

ii) KESABARAN NABI NUH (AS) KETIKA BERDAKWAH KEPADA KAUMNYA.
Kehidupan Nabi Nuh suatu kehidupan yang berat yang tidak ada putus-putusnya, percubaan dari kaumnya suatu cubaan yang sangat menyakitkan. Nabi Nuh bertempat tinggal bersama mereka beberapa abad akan tetapi semua telinga kaumnya tuli, hatinya tertutup, dan akalnya membatu. Sesungguhnya jiwa mereka lebih keras dari batu karang, hati mereka lebih keras daripada besi, dan tidak bermakna bagi mereka nasihat dan peringatan.
Setiap kali mereka diberi nasihat, mereka bertambah ingkar. Setiap kali Nabi Nuh mengingatkan mereka kepada Allah, kesesatan mereka bertambah-tambah. Mereka bernaung dalam jalan kesesatan, mereka tidak memperhatikan dakwah, mereka tidak mengindahkan serta mahu memikirkan ancaman dan peringatan-peringatan Nabi Nuh (as), sedangkan Nabi Nuh tinggal bersama mereka selama 950 tahun dalam keadaan berdakwah, memberi nasihat dan mengingatkan mereka dengan jalan berhikmah untuk mengubah mereka dari kesesatan serta menjauhkan mereka dari menyembah patung dan berhala. Akan tetapi semua itu tidak membahagiakan dan menyenangkan mereka. Dakwah Nabi Nuh siang dan malam hari, secara senyap mahupun terang-terangan namun demikian hati-hati mereka tidak mahu mengikutinya. Kebaikan yang diberi mereka balas dengan keburukan, kehalusan yang diberi mereka balas dengan kekerasan. Nabi Nuh tidak pernah berdendam pada kaumnya, malah Nabi Nuh (as) sentiasa berdoa, “Ya Allah, ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka belum mengetahui.

Para penafsir meriwayatkan bahawa tatkala Nabi Nuh datang kepada kaumnya dan mengajak mereka kepada Allah, maka mereka berkumpul mengelilinginya dan memukulnya dengan suatu pukulan yang sangat keras, mereka mencekiknya sehingga Nabi Nuh (as) pengsan, lalu mereka masukkan dalam tikar dan membuangnya di tengah perjalanan lalu mereka berkata, “Sesungguhnya dia akan mati setelah hari ini”, maka Allah memulihkannya dan dia (Nuh) kembali mengajak kaumnya kepada Allah, maka mereka melakukan sedimikian itu lagi. Seperti itulah ujian dan seksaan, akan tetapi Nuh selalu bersabar dan tidak pernah mendoakan suatu seksaan kepada kaumnya.
Sepanjang dakwahnya, tidaklah yang beriman kepadanya melainkan sedikit sekali. Setiap kali mereka melahirkan tidaklah dari kalangan yang lebih baik, bahkan mereka lebih jahat dan lebih busuk kerana orang tua mereka selalu mewasiatkan kepada anak-anaknya dengan berkata, “Hai anak-anakku, takutlah kamu kepada Nuh, kerana dia tidak memuliakan agamamu dan berhala-berhalamu”. Oleh sebab ini Nabi Nuh mendoakan kepada mereka setelah dia merasa putus asa terhadap keimanan mereka, maka Nabi Nuh berkata sebagaimana firman Allah dalam surah Nuh, ayat 26-27, “Nuh berkata, “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat kemaksiatan lagi kafir.” Maka terjadilah selepas itu satu banjir yang besar. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 286-292)

iii) NABI NUH (AS) MEMBUAT BAHTERA.
Setelah Nabi Nuh bersedih hati memikirkan kaumnya, Allah Ta’ala mewahyukan kepadanya sesungguhnya tidak akan beriman seorang pun kaummu setelah orang-orang mukmin yang bersamanya, sebagaimana firman Allah dalam surah Huud, ayat 36, “Dan diwahyukan kepada Nuh, bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang telah beriman (saja) kerana itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan”.
Di saat Nabi Nuh berdoa kepada Allah untuk membinasakan dan menghancurkan kaumnya, maka Allah memperkenankan doanya dan Allah memberitahu kepadanya bahawa Dia akan menghancurkan mereka dengan angin taufan dan banjir besar, dan tidak ada yang tinggal dari mereka seorang pun.
Allah mewahyukan bagaimana cara pembuatannya yang baik, sebagaimana firman Allah dalam surah Huud, ayat 37, “Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim itu; sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan”. Di dalam ayat tadi Allah juga memerintahkan kepada Nabi Nuh dengan meniadakan peninjauan keadaan mereka, kerana sesungguhnya apabila seksaan Allah datang, kaumnya yang berdosa tidak akan menolaknya. Di saat Nabi Nuh (as) membuat bahtera atas perintah Allah dengan wahyu-Nya, kaumnya mengetahui dengan meremehkan dan memperlecehkannya. Akan tetapi Nuh mengerjakan terus dengan baik bahteranya itu.
Setelah selesai Nabi Nuh (as) membuat bahtera, Allah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membawa pengikutnya yang mukmin, semua haiwan secara berpasangan, lelaki dan perempuan, dan perbekalan secukupnya untuk mengekalkan keturunannya ke dalam bahtera, kemudian Allah membuat tanda pancaran air dari dapur-dapur, dari langit dan dari segala penjuru bumi, Nabi Nuh menaiki bahtera bersama kaumnya yang beriman, kemudian angin kencang dan banjir besar melanda, menenggelamkan semua penduduk bumi, dan tidak akan selamat melainkan yang di dalam bahtera. Setelah itu Allah turunkan pula hujan dari langit yang dahsyat sekali, yang tidak akan ada hujan seperti itu sebelumnya dan sesudahnya. Ketinggian air itu naik sampai di atas gunung setinggi 15 zirak, meratai seluruh permukaan bumi, datarnya dan jurangnya serta semua penjuru bumi. Dengan inilah Nabi Nuh dinamai dengan nama; “Ayah manusia kedua”, kerana semua ahli bumi setelah berlakunya banjir besar dan angin taufan lenyap sama sekali, sehingga anak Nuh sendiri tidak ikut naik bahtera bersama ayahnya kerana dia termasuk dalam orang-orang yang binasa. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 293-297)

iv) BANJIR BESAR BERHENTI SETELAH ORANG-ORANG KAFIR BINASA.
Setelah semua orang kafir di bumi lenyap, Allah memerintahkan langit berhenti mencurahkan air hujan, dan memerintahkan bumi untuk menelan air yang menggenanginya, supaya menjadi seperti sediakala. Bahtera pula telah mendarat di gunung yang bernama “Judy”, sebuah gunung yang besar terletak di Amerika Selatan, berbatasan dengan Mesopotamia, sebagaimana firman Allah dalam surah Huud, ayat 44, “Dan difirmankan, “Hai bumi! Telanlah airmu, dan hai langit (hujan) berhentilah,” dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan bahtera itu pun berlabuh di antara bukit Judi, dan dikatakan, “Binasalah orang-orang yang zalm”. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 299)

v) AHLI BAHTERA MENDARAT.
Semasa bahtera mendarat di bukit Judi, Allah memerintahkan Nuh dan orang-orang yang bersamanya untuk mendarat dari bahtera dengan selamat dan sejahtera serta mendapat barakah dari Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah, firmannya dalam surah Huud, ayat 48, “Hai Nuh, turunlah dengan selamat dan penuh keberkahan dari Kami atasmu dan atas umat-umat (yang Mukmin) dan orang-orang yang bersamamu”.
Mereka mendarat dari bahtera pada hari Asyura dari bulan Muharam setelah bertempat tinggal dalam bahtera selama 150 hari, maka Nuh berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah dan Allah menyuruh orang-orang Mukmin yang bersamanya untuk berpuasa pada hari itu, maka orang-orang Bani Israil mewarisi berpuasa pada hari itu dan kemudian Islam datang menetapkan berpuasa pada hari tersebut.
Telah diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. semasa datang ke Madinah Al-Munawarah, beliau mengetahui orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu Nabi bertanya, “Hari apa ini?”, mereka menjawab, “Hari Soleh, hari ini Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh-musuhnya, maka Musa berpuasa”. Nabi bersabda, “Saya lebih berhak bersama Musa daripada kamu sekalian, lalu Nabi berpuasa dan memerintahkan berpuasa pada hari itu”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Dan Tarmizi meriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa beliau bersabda, “Puasa hari Asyura kami mengharapkan kepada Allah untuk menutupi dosa setahun sebelumnya”. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 299-300)

KESIMPULAN.
Setelah bertahun-tahun hidup bersama kesesatan kaumnya dan menempuhi pelbagai dugaan hidup di dalam bahtera selama 150 hari, riwayat yang mangkul (secara langsung) dari Ibnu Abbas bahawa Katsir dalam “Al Bidayah Wan Nihayah”, bahawa Nabi Nuh bersama kaumnya yang beriman sebanyak 80 orang, mereka bertempat dalam bahtera selama 150 hari, kemudian Allah melayarkan bahtera itu ke Makkah selama 40 hari dan selajuntnya Allah melayarkan bahtera itu ke bukit Judy dan menetap di sana.
Beliau berjuang selama hidupnya akan tetapi yang beriman hanya sedikit, dan di waktu lain dia selalu memperoleh penderitaan dari kaumnya, yang tidak akan berkuasa seorang nabi pun malainkan dari ulul azmi (orang lelaki yang mempunyai keteguhan hati), dengan inilah Nabi Nuh (as) termasuk dari salah satu ulul azmi. Ketabahan Nabi Nuh (as) terhadap kerenah kaumnya, Allah S.W.T. telah meletakkanya di kalangan para nabi ulul azmi. Para nabi yang terus menerus menyampaikan risalah Allah iaitu mengajak setiap kaumnya mengesakan-Nya.
Nabi Nuh meninggal dunia setelah bersama kaumnya 950 tahun sebelum banjir besar dan hidup setelah banjir selama beberapa masa yang hanya Allah lebih mengetahuinya. Ibnu Abbar meriwayatkan bahawa perkiraan Nabi Nuh hidup selama 1780 tahun, hidup seperti ini yang paling lama suatu kehidupan manusia. Nabi Nuh dimakamkan di Masjid Al-Munawarah di Makkah Al-Mukarramah, bagi kata yang lebih kuat, semoga Allah merahmati kepadanya. Kerana dialah Nabi yang pertama membawa syariat, yang paling lama umurnya, dia yang pertama memberikan khabar peringatan tentang syirik, pertama yang mengajak kepada Allah, dan Allah telah memberikan nama “hamba yang syukur” dan itulah setinggi-tinggi gelaran buatnya dari Allah. (Ash Shabuni, Muhammad Ali, 1996 : 300-301)

RUJUKAN.

1) Ash Shabuni, Muhammad Ali (1996). Kemuliaan Para Nabi. Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.
2) Ismail, Abul Fidaa’ bin Katsir Al-Quraisy (2000). Kisah Para Nabi Teladan Bagi Orang Berakal. Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.

12 comments: